Saturday, August 21, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU 6








Pada minggu ke enam pelajar telah didedahkan dengan muzik tradisional makyung dan kompang. Sebelum ini penulis pernah mendengar permainan muzik makyung dan ia cukup terkenal di negeri Kelantan, namun pendedahan terhadap muzik tersebut tidak secara “detail”. Begitu juga dengan muzik kompang yang biasa dimainkan di dalam majlis kahwin dan majlis-majlis rasmi. Berikut merupakan refleksi penulis mengenai makyung dan kompang setelah mengikuti kelas muzik tradisional. Refleksi ini akan diulas berkaitan dengan sejarah, alat muzik dan muzik yang terdapat dalam makyung dan kompang.

MAKYUNG

Makyung dikategorikan sebagai drama tari dan merupakan tarian melayu tradisional yang berasal daripada kerajaan Pattani Thailand. Ia juga dikatakan masuk ke negeri Kelantan lebih 200 ratus tahun dahulu dan terus berkembang ke negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu lain. Muzik ini pada asal merupakan permainan rakyat namun ia telah di bawa masuk ke Istana oleh Tengku Temenggung Ghaffar.

Kebiasaannya persembahan makyung dimulakan dengan acara “mengadap rebab” setelah itu disusuli dengan tarian, drama dan muzik. Makyung ini dimainkan dengan cara Theater In The Round iaitu persembahan yang dilakukan di tengah-tengah penonton dan kedudukan penonton adalah mengelilingi persembahan makyung tersebut. Drama yang terdapat di dalam makyong mengisahkan cerita rakyat dan watak-watak yang terdapat dalam makyung adalah peran, raja dan dewa muda. Pada awal abad ke 20 watak-watak dalam makyong telah diberikan kepada wanita. Makyung juga telah dikaitkan dengan upacara perubatan dan setiap watak yang dibawa akan memainkan peranan masing-masing untuk menyembuhkan penyakit. Manakala alat muzik yang utama di dalam muzik makyong adalah gendang, tetawak dan sebuah rebab yang mempunyai tiga tali. Sesetengah persembahan makyong mempunyai alat muzik tambahan seperti serunai geduk dan canai. Rebab akan memainkan peranan penting sebagai melodi utama dan “Susu” yang terdapat pada rebab berfungsi sebagai menyerap(meredam) bunyi. Tempo yang dimainkan di dalam muzik makyung adalah perlahan dan mempunyai empat timbre iaitu “pak, duh, cak, ting”.


KOMPANG
Kompang merupakan alat muzik yang dikatakan berasal daripada Timur Tengah (Arab) dan di bawa masuk melalui Jawa oleh pedagang Arab pada 13 Masihi. Kompang merupakan alat muzik yang terkenal dikalangan masyarakat melayu dan diperbuat daripada kulit kambing betina pada bahagian tengah manakala bahagian tepi diperbuat daripada kayu nangka. Alat ini mempunyai pelbagai saiz mengikut kesesuaian pemain antara saiz yang biasa digunakan adalah 30cm (12 tahun ke bawah), 32.5cm, 35cm dan 37.5 cm (dewasa).

Kompang dimainkan dengan cara memukul bahagian permukaan kompang dengan menggunakan tangan atau jari. Ia boleh dimainkan dengan pelbagai cara seperti berdiri, duduk dan berarak mengikut keperluan. Bunyi berlainan akan dapat dihasilkan melalui cara pukulan antara bukaan(jari) atau tutup(tangan). Kompang juga akan menghasilkan dua bunyi iaitu ‘pak’ dan ‘bung’ Bagi menghasilkan paduan bunyi yang harmoni, perlu ada gabungan tiga pukulan iaitu melalu, melingkah dan menyilang. Pukulan melalu dan menyilang merupakan pukulan asas, manakan pukulan melingkah akan memainkan peranan untuk menimbulkan harmoni.

Secara kesimpulannya setelah mempelajari makyong dan kompang, pemahaman penulis terhadap muzik tersebut semakin bertambah. Tambahan pula semasa sesi pembelajaran penulis telah didedahkan dengan cara bermain kompang dan ia merupakan pengalaman penulis bermain kompang. Walaupun ia dilihat senang tetapi sebenarnya ia memerlukan tenaga yang lebih untuk memukul kompang dan perhatian yang tajam untuk menyamakan rentak dengan pukulan pemain lain. Secara tidak langsung peluang yang diberikan telah membuka minat penulis untuk mendekati muzik kompang dengan lebih dekat. Penulis juga berharap selepas ini akan diberi peluang untuk bermain alat muzik tradisional yang lain kerana dengan cara ini penulis dapat merasai tarikan yang terdapat pada alat muzik tradisional.

Teruskan Membaca...

Friday, August 13, 2010

MINGGU 5:JURNAL REFLEKSI




Pada kuliah 5 pelajar SMP 2252 telah didedahkan dengan muzik tradisional gamelan dan cak lempong. Sebelum ini penulis telah biasa mendengar muzik gamelan dimainkan di dalam majlis rasmi sebagai pembuka majlis atau sewaktu ketibaan tetamu kehormat. Namun bagi muzik cak lempong penulis berkenalan dengan muzik tersebut sewaktu dibincang di dalam kuliah 5 ini. Secara keseluruhannya penulis tidak mengenali dua muzik ini dengan lebih dekat sehingga ia diperkenalkan di dalam kelas dari segi sejarah, alat muzik, sistem tonal, melodi dan irama bagi kedua-dua muzik tersebut.


Dilihat dari segi sejarah, gamelan berasal dari Jawa dan muzik ini diperkenalkan di dalam Istana di negeri Pahang pada waktu pemerintahan Sultan Muadzam Shah. Pada tahun 1913 muzik ini di bawa ke negeri Terengganu hasil daripada perkawinan antara Tengku Ampuan Mariam dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam syah. Bermula daripada perkahwinan itu satu set gamelan dan penari telah di bawa masuk ke istana Terengganu untuk menghiburkan Tengku Ampuan Mariam dan pemuda pemudi telah diajar untuk bermain muzik tersebut.


Walaupun muzik ini berasal dari Jawa namun identiti muzik antara gamelan Jawa dan gamelan Melayu berbeza dari segi tuning, instrument dan melodi. Gamelan melayu diubah untuk diselaraskan dengan bunyi piano. Namun bagi Amerika ia masih mengekalkan ciri-ciri Jawa tanpa mengubah tuning. Antara alat muzik yang terdapat dalam gamelan Terengganu adalah kromong (boning), kenong, pekin, saron barung, gong, gendang dan gambang. Manakala terdapat dua pertambahan alat muzik dalam gamelan Jawa iaitu demung dan kempul. Bagi gamelan Jawa muzik ini biasanya digunakan untuk majlis perkahwinan, berkhatan dan fungsi-fungsi lain yang berkaitan dengan kehidupan rakyat.

Notasi dilihat tidak begitu penting di dalam gamelan pada abad ke 19 kerana masyarakat pada waktu itu menggunakan sistem menghafal untuk bermain alat muzik. Pada zaman moden sekarang ini, muzik gamelan dilihat masih lagi dimainkan dengan menggunakan sistem nombor dan sistem itu dikenali sebagai sistem kepatihan. Begitu juga dengan tarian yang mengiringi muzik gamelan, ia dipelajari melalui manuskript tarian yang dilukis masyarakat pada waktu itu. Tekstur gamelan pula adalah berbentuk polifoni dan ciri muzik tersebut adalah dimainkan secara berulang.





Cak lempong merupakan muzik yang berasal daripada minangkabau dan ia dikenali sebagai talempong atau tak lempong. Setelah itu ia dibawa masuk di beberapa bahagian kawasan di negeri Sembilan oleh orang sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu. Muzik ini telah menjadi adat, seni dan budaya di negeri Sembilan. Cak lempong biasa dimainkan pada majlis perkahwinan dan adat istiadat. Terdapat tujuh alat muzik di dalam cak lempong iaitu boning, gereteh, tingkah, sauwa, gendang, bangsi dan serunai.Bonang yang terdapat pada cak lempong dikatakan berbeza dengan gamelan kerana ia diperbuat daripada tembaga. Bagi alat muzik tingkah dan sauwa ia dilihat sama tetapi cara bermain adalah berbeza iaitu sauwa dimainkan dengan menggunakan kedua belah tangan manakalan tingkah secara interlocking (bertingkah). Manakala bagi alat muzik aerofon yang terdapat dalam cak lempong adalah bangsi dan serunai. Bangsi diperbuat daripada buluh dan mempunyai 7 lubang manakala serunai mempunyai 4 lubang dan diperbuat daripada tanduk kerbau.


Teruskan Membaca...

Saturday, August 7, 2010

MINGGU 4 - JURNAL REFLEKSI


Sebelum mengikuti kuliah minggu ke empat, sedikit sebanyak penulis telah mengenali apa itu wayang kulit. Wayang kulit merupakan permainan yang cukup terkenal di negeri Kelantan dan kerapkali dimainkan pada majlis rasmi dan majlis persendirian atau peribadi. Dalam permainan wayang kulit tidak lengkap jika tidak melibatkan alat muzik, tok dalang, patung dan pentas (layar putih). Bahasa yang digunapakai di dalam wayang kulit negeri Kelantan adalah bahasa Kelantan dan mempunyai kisah-kisah tersendiri. Sebelum watak yang dibawa oleh tok dalang keluar, muzik pembukaan akan dimainkan oleh pemuzik-pemuzik yang berada di belakang tabir. Dalang merupakan fungsi yang sangat penting dalam menghidupkan suasana permainan wayang kulit.

Penulis mendapati wayang kulit merupakan satu muzik tradisional dan sebagai generasi yang bakal mewarisi seni Negara, penulis ingin mengenali wayang kulit dengan lebih mendalam. Penulis tertarik dengan cari pembawakan watak yang dibawa oleh tok dalang dan ingin memahami cara menguruskan patung dengan cekap. Penulis juga ingin mengetahui alat-alat muzik yang terlibat dengan wayang kulit dan bagaimana cara menguruskan alat muzik tersebut. Watak yang dibawa oleh cerita yang dimainkan juga mempunyai maksud-maksud tertentu dan perlu dihayati dengan lebih mendalam. Penulis juga mempunyai mengetahui makna ukiran pada patung yang mengambarkan watak baik atau jahat dalam sesuatu cerita.

Namun setelah melalui kuliah ke empat, setiap persoalan yang timbul telah terjawab. Di dalam kuliah ini penulis telah didedahkan dengan asal usul wayang kulit yang mana di dalam Malaysia terdapat empat jenis wayang kulit iaitu wayang kulit Jawa, wayang kulit gedek, wayang kulit Kelantan dan wayang kulit melayu. Setiap wayang kulit tersebut mempunyai ciri-ciri yang berlainan seperti patung dan bahasa sebagai contoh hanya wayang kulit gedek yang patungnya diukir menghadap ke hadapan berlainan dengan patung wayang kulit yang lain. Manakala dilihat dari segi persamaan adalah jalan cerita yang berteras kepada kisah epik Ramayana dan Mahabrata, cuma nama watak di tukar mengikut jenis wayang kulit dan bahasa yang digunakan dalam wayang kulit tersebut.

Bagi menambahkan pengetahuan dan minat penulis terhadap wayang kulit ini, ia perlu dipersembahkan secara langsung di hapadan pelajar agar pelajar lebih mengenali muzik wayang kulit dengan lebih dekat dan secara tidak langsung minat terhadap permainan ini akan timbul. Bagi pendekatan yang lain adalah dengan menggunakan sumber rujukan seperti internet dan buku yang berkisahkan wayang kulit.



Teruskan Membaca...

Sunday, August 1, 2010

Minggu 3: Jurnal Refleksi



Pada kuliah dua sebelum ini penulis telah didedahkan dengan soundscape, asal usul sesuatu muzik, budaya yang terdapat dalam muzik yang dimainkan, kategori alat muzik dan struktur muzik. Daripada kuliah tersebut penulis telah dapat membezakan jenis alat muzik yang dimainkan. Sebelum penulis memasuki kuliah 3, Penulis hanya mendengar sesuatu muzik tersebut secara membuta tuli. Sebagai contoh muzik ghazal, jika didengar secara kasar muzik ghazal yang terdapat di Johor kedengarannya seperti sama dengan muzik ghazal yang dimainkan di tahah Arab. Namun selepas mengikuti kuliah tiga, barulah penulis tahu bahawa kedua-dua muzik tersebut mempunyai perbezaan yang tersendiri walaupun ia mengekalkan ciri-ciri yang sama. Perbezaan yang dimaksudkan ialah, muzik ghazal yang terdapat di Malaysia telah diubah sedikit dan disesuaikan dengan norma dan kebudayaan penduduk setempat agar ia dapat memenuhi selera dan kehendak penduduk tempatan. Keadaan tersebut mungkin boleh di kaitkan dengan pembelajaran kuliah tiga yang menyentuh tentang kaedah klasifikasi muzik tradisional seperti unsur adaptasi dan juga unsur idiosinkretik dan muzik ghazal mungkin antara muzik yang termasuk kategori adaptasi atau penyesuaian kerana setelah sampai di Malaysia ia disesuaikan dengan kebudayaan setempat.

Dalam aspek muzik budaya klasik dapat diklasifikasikan bahawa muzik tersebut pada zaman dahulu dimainkan oleh golongan-golongan istana. Namun semakin lama muzik ini telah diturunkan kepada rakyat biasa. Daripada sini penulis ingin mengetahui dengan lebih mendalam ciri-ciri yang membezakan muzik klasik dan muzik rakyat dan bagaimana ia boleh diturunkan kepada rakyat biasa. Penulis juga mengharapkan kuliah tiga dapat memberikan lebih pemahaman terhadap cir-ciri muzik tradisional yang terdapat di Malaysia dan konsep yang diterapkan di dalam muzik oleh tradisional oleh penduduk Malaysia.

Hasil daripada pembelajaran kuliah tiga, penulis telah mempelajari bahawa terdapat enam ciri-ciri utama muzik tradisional Malaysia. Antaranya ialah muzik ensemble genderang iaitu muzik yang boleh berdiri sendiri tanpa bantuan vokal dan alat muzik lain seperti kompang. Kompang seperti yang diketahui umum digunakan untuk menyambut tetamu pada majlis-majlis tertentu seperti majlis perasmian sesuatu upacara dan majlis perkahwinan. Walaupun hanya menggunakan satu instrument namun kompang sebenarnya mempunyai teknik pukulan yang berlainan antara satu pemain dengan pemain yang lain. Hasil daripada pukulan dan paluan yang berbeza itu ia mampu menimbulkan satu bunyi yang sedap untuk didengari dan keistemawaan tersebut telah menjadikannya salah satu jenis muzik genderang yang tidak memerlukan bantuan alatan muzik lain untuk menarik perhatian orang ramai.

Dramatari juga merupakan antara ciri utama muzik tradisional Malaysia. Ia merupakan gabungan muzik, tarian dan lakonan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai. Antara dramatari lakonan yang agak popular di Malaysia adalah Mak Yong dan dikir barat yang banyak dimainkan di negeri-negeri pantai timur. Bagi muzik tarian utama, setiap tarian yang dilakukan hendak mengikut rentak muzik dan melambangkan budaya masyarakat yang terdapat disesuatu tempat contohnya tarian sumazau yang terkenal di Sabah. Dalam tarian tersebut, penari mengenakan pakaian tradisional Sabah dan alatan yang muzik yang digunakan pakai juga berdasarkan budaya Sabah seperti gong. Di Sabah terkenal dengan tarian sumazau namun paluan muzik yang dimainkan berbeza mengikut daerah. Video di bawah menunjukkan tarian sumazau di daerah penampang.

Bagi menambahkan lagi pemahaman untuk kuliah ini, penulis telah merujuk kepada sumber internet. Dengan cara ini penulis dapat melihat sendiri peralatan yang dimainkan di dalam setiap muzik tradisional yang ada di Malaysia. Penulis juga dapat mengenali membezakan budaya yang diserapkan di dalam setiap muzik yang dimainkan.

Teruskan Membaca...

Sunday, July 25, 2010

MINGGU 2 : REFLEKSI JURNAL


Kursus Muzik Tradisional merupakan salah satu subjek yang diperkenalkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memupuk minat para pelajar mendalami dan menghayati muzik-muzik tradisional yang ada di Malaysia. Secara tidak langsung ia dapat mengembangkan dan mempertahankan ilmu dalam bidang muzik tradisional agar tidak lupus di telan zaman. Tujuan penulis mengikuti kursus ini adalah untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai nilai-nilai yang ada pada muzik-muzik tradisional. Sebelum ini penulis tidak begitu tertarik dengan alat-alat dan lagu yang berkaitan dengan muzik tradisional. Penulis juga mengenali nama-nama seperti rebana,gambus,gendang,gong,kompang dan seruling tetapi berlaku kekeliruan apabila melihat alat-alat tersebut secara langsung. Pada zaman moden sekarang, anak-anak muda biasa didedahkan dengan muzik tradisional apabila berada di dalam majlis rasmi dan majlis perkahwinan. Berbanding dengan masyarakat dahulu yang menggunakan alat muzik dalam kehidupan sehari-hari untuk menghiburkan hati dan merapatkan silatulrahim antara satu dengan yang lain.

Sebelum ini penulis hanya mendengar muzik tetapi tidak pernah menghayati alunan dan bunyi yang ada di dalam muzik yang dimainkan. Bagi meningkatkan tahap pemahaman terhadap muzik tradisional penulis berharap kuliah seterusnya dapt mendedahkan setiap bunyi yang terkandung dalam setiap muzik yang dialunkan. Contohnya makyong, makyong sangat terkenal di dalam masyarakat Kelantan dan ia merupakan gabungan lakonan, tarian dan muzik. Bagi menghasilkan muzik di dalam permainan makyong gabungan alat-alat tradisional seperti rebab, serunai gendang dan gong. Ia merupakan lambang kebudayaan masyarakat Kelantan, Pattani dan Terengganu. Dari sini penulis dapat mentafsirkan bahawa muzik tradisional merupakan komponen budaya bagi melambangkan cara hidup sesuatu masyarakat. Rajah di bawah menunjukkan salah satu peralatan dalam makyong iaitu rebab. Rebab merupakan peralatan utama dalam makyong. Selepas ini penulis mengharapkan setiap alunan muzik yang dimainkan dapat dihayati dengan teliti dan penulis juga dapat membezakan setiap peralatan yang dimainkan didalam setiap muzik yang dimainkan

Bagi penulis, minat terhadap muzik tradisional mula bertambah apabila mengikuti kursus muzik tradisional. Dalam kuliah dua penulis dan rakan sekuliah telah didedahkan mengenai sejarah muzik tradisional, konsep, budaya yang terdapat dalam muzik tradisional, cara menghayati muzik tersebut. Setelah mempelajari subjek ini penulis dapat membezakan antara muzik dan bunyi. Mengikut kuliah yang diikuti oleh penulis, bunyi apabila disusun ia akan menghasilkan alunan muzik. Contohnya bunyi katak, cengkerik, air terjun dan angin disusun akan menghasilkan satu muzik yang unik dan sedap untuk didengar. Hasil daripada pendedahan mengenai sejarah kedatangan orang luar ke Tanah Melayu, penulis dapat melihat berlaku penyerapan pelbagai budaya ke Negara kita.

Pendedahan yang lebih terbuka seperti turun ke lapangan perlu dilakukan setiap pelajar bagi melihat sendiri estetika muzik tradisional yang terdapat di Malaysia. Dengan cara ini pemahaman terhadap muzik tradisional dapat diperjelaskan dengan baik dan pelajar dapat mendekatkan diri terhadap bidang ini. Contohnya lawatan ke Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian. Pelajar juga harus didedahkan dengan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan muzik tradisional dan melalui pembacaan di internet agar ilmu mengenai kesenian muzik dapat ditingkatkan.




Teruskan Membaca...

Wednesday, July 14, 2010

BIODATA


NAMA

NURDALILA BINTI ABD HALIM

NO MATRIK

D20072031566

PROGRAM

PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN

KUMPULAN

A

SEMESTER

6

SUBJEK

SMP 2252 – MUZIK TRADISIONAL MALAYSIA

E-MAIL

eiladalila@gmail.com

ALAMAT BLOG

http://smp2252dalila.blogspot.com

NEGERI ASAL

KELANTAN


Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP 2252 DALILA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template