Friday, August 27, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU 7

Pada minggu ini dua kumpulan telah membentangkan dua tajuk penting iaitu sejarah muzik tradisional Malaysia dan zikir. Penulis merupakan anggota ahli kumpulan zikir. Sebelum ini penulis hanya mengetahui serba sedikit mengenai zikir dan ia merupakan amalan umat Islam dan proses mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Dalam proses penulis menyiapkan penulisan mengenai zikir, barulah penulis memahami bahawa zikir boleh disampaikan dalam pelbagai cara. Sebagai contoh zikir yang disampaikan oleh negara India, mereka menyampaikan zikir berserta dengan alunan suara oleh solo dan paduan suara oleh penzikir lain menjadikan ia lebih harmoni. Begitu juga dengan pembentangan dari kumpulan pertama yang menerangkan mengenai sejarah muzik tradisional Malaysia yang memberi banyak “input” kepada pelajar-pelajar yang lain. Pada minggu ini penulis akan mengulas berkaitan dengan dua tajuk pembentangan tersebut.

Sejarah Muzik Tradisional Malaysia
Dalam tajuk ini pembentang telah menerangkan mengenai konsep perkembangan sejarah muzik tradisional di Malaysia, pengaruh ini dilihat dari segi pengaruh budaya luar iaitu kedatangan pedagang dari India, Cina, Barat dan Timur Tengah dan Kepulauan Melayu. Kumpulan ini juga mengupas dan memberi contoh alat muzik yang terdapat di Malaysia. Menurut pembentang berdasarkan sumber yang mereka perolehi, alat muzik ini dicipta semasa kemasukan masyarakat Melayu-Proto ke semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke 3000 SM. Dilihat dari aspek sosio-budaya, alat muzik ini dicipta bagi memenuhi kehidupan mereka untuk dijadikan sebagai permainan dan digunakan sebagai alat bagi upacara ritual. Menurut kumpulan ini juga alat muzik yang paling tua adalah seruling yang dihasilkan melalui tulang binatang. Ini dibuktikan apabila tulang tersebut mempunyai lubang-lubang yang boleh menghasilkan bunyi. Melalui pembentangan ini penulis dapat mengenali asal usul alat muzik dan melihat sendiri bentuk alat muzik pada zaman dahulu melalui gambar-gambar dan nama asal alat muzik tersebut yang disediakan oleh kumpulan pembentang. Sebagai contoh alat ‘Morin Khuur’ yang merupakan alat muzik tertua dalam kategori kordofon dan masih lagi terdapat di negara Mongolia.




Zikir
Perkara-perkara yang dikupas dalam tajuk zikir ialah sejarah dan pengertian mengenai zikir. Zikir masuk ke Tanah Melayu sekitar abad ke-7 Masihi seiring dengan kedatangan Islam. Zikir merupakan amalan individu mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Dari segi pengaruh agama zikir dilakukan mengikut tarekat seseorang individu itu, sebagai contoh negara Nigeria mengamalkan tarekat Sammaniyah. Walaupun di dunia ini mempunyai pelbagai fahaman tarekat tetapi niat dan jalan individu atau kumpulan tersebut adalah sama iaitu mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Semua zikir disampaikan dengan cara berlainan tetapi mengandungi kalimah-kalimah kebersaran Allah S.W.T.

Zikir dan selawat adalah dua perkara yang berbeza, zikir merupakan amalan kepada Allah S.W.T manakala selawat adalah mendoakan Nabi dan Rasul. Zikir biasanya dilakukan di dalam upacara majlis tahlil dan majlis rasmi yang lain. Contoh majlis rasmi ialah di negara Indonesia zikir diadakan semasa menyambut kemerdekaan seperti contoh video yang ditayangkan di bawah. Dalam bab zikir ini, pembentang lebih fokus kepada muzik yang diterapkan di dalam zikir. Zikir kebanyakannya dikategorikan sebagai muzik vokal kerana jarang melibatkan alat muzik. Paduan vokal digabungkan melahirkan satu melodi yang harmoni namun perlu mengikut tajwid yang betul. Alat muzik yang biasa digunakan dalam zikir adalah jenis membranofon iaitu gendang.

Kesimpulannya, hasil daripada pembentangan daripada kedua-dua kumpulan tersebut penulis telah memahami sejarah alat muzik dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan zikir yang dapat dilakukan tidak kira dalam apa jua cara sekalipun dan ia disampaikan bukan semata-mata selepas solat. Cara penyampaian setiap kumpulan juga memberi pemahaman yang lebih jelas kepada semua pelajar.

1 comments:

RK_nisa on October 30, 2010 at 11:28 PM said...

Di dalam kuliah kumpulan saya tiada tajuk pembentangan tentang zikir. Jadi saya mendapat banyak inormasi apabiola membaca jurnal refleksi anda.

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP 2252 DALILA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template