Saturday, August 21, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU 6








Pada minggu ke enam pelajar telah didedahkan dengan muzik tradisional makyung dan kompang. Sebelum ini penulis pernah mendengar permainan muzik makyung dan ia cukup terkenal di negeri Kelantan, namun pendedahan terhadap muzik tersebut tidak secara “detail”. Begitu juga dengan muzik kompang yang biasa dimainkan di dalam majlis kahwin dan majlis-majlis rasmi. Berikut merupakan refleksi penulis mengenai makyung dan kompang setelah mengikuti kelas muzik tradisional. Refleksi ini akan diulas berkaitan dengan sejarah, alat muzik dan muzik yang terdapat dalam makyung dan kompang.

MAKYUNG

Makyung dikategorikan sebagai drama tari dan merupakan tarian melayu tradisional yang berasal daripada kerajaan Pattani Thailand. Ia juga dikatakan masuk ke negeri Kelantan lebih 200 ratus tahun dahulu dan terus berkembang ke negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu lain. Muzik ini pada asal merupakan permainan rakyat namun ia telah di bawa masuk ke Istana oleh Tengku Temenggung Ghaffar.

Kebiasaannya persembahan makyung dimulakan dengan acara “mengadap rebab” setelah itu disusuli dengan tarian, drama dan muzik. Makyung ini dimainkan dengan cara Theater In The Round iaitu persembahan yang dilakukan di tengah-tengah penonton dan kedudukan penonton adalah mengelilingi persembahan makyung tersebut. Drama yang terdapat di dalam makyong mengisahkan cerita rakyat dan watak-watak yang terdapat dalam makyung adalah peran, raja dan dewa muda. Pada awal abad ke 20 watak-watak dalam makyong telah diberikan kepada wanita. Makyung juga telah dikaitkan dengan upacara perubatan dan setiap watak yang dibawa akan memainkan peranan masing-masing untuk menyembuhkan penyakit. Manakala alat muzik yang utama di dalam muzik makyong adalah gendang, tetawak dan sebuah rebab yang mempunyai tiga tali. Sesetengah persembahan makyong mempunyai alat muzik tambahan seperti serunai geduk dan canai. Rebab akan memainkan peranan penting sebagai melodi utama dan “Susu” yang terdapat pada rebab berfungsi sebagai menyerap(meredam) bunyi. Tempo yang dimainkan di dalam muzik makyung adalah perlahan dan mempunyai empat timbre iaitu “pak, duh, cak, ting”.


KOMPANG
Kompang merupakan alat muzik yang dikatakan berasal daripada Timur Tengah (Arab) dan di bawa masuk melalui Jawa oleh pedagang Arab pada 13 Masihi. Kompang merupakan alat muzik yang terkenal dikalangan masyarakat melayu dan diperbuat daripada kulit kambing betina pada bahagian tengah manakala bahagian tepi diperbuat daripada kayu nangka. Alat ini mempunyai pelbagai saiz mengikut kesesuaian pemain antara saiz yang biasa digunakan adalah 30cm (12 tahun ke bawah), 32.5cm, 35cm dan 37.5 cm (dewasa).

Kompang dimainkan dengan cara memukul bahagian permukaan kompang dengan menggunakan tangan atau jari. Ia boleh dimainkan dengan pelbagai cara seperti berdiri, duduk dan berarak mengikut keperluan. Bunyi berlainan akan dapat dihasilkan melalui cara pukulan antara bukaan(jari) atau tutup(tangan). Kompang juga akan menghasilkan dua bunyi iaitu ‘pak’ dan ‘bung’ Bagi menghasilkan paduan bunyi yang harmoni, perlu ada gabungan tiga pukulan iaitu melalu, melingkah dan menyilang. Pukulan melalu dan menyilang merupakan pukulan asas, manakan pukulan melingkah akan memainkan peranan untuk menimbulkan harmoni.

Secara kesimpulannya setelah mempelajari makyong dan kompang, pemahaman penulis terhadap muzik tersebut semakin bertambah. Tambahan pula semasa sesi pembelajaran penulis telah didedahkan dengan cara bermain kompang dan ia merupakan pengalaman penulis bermain kompang. Walaupun ia dilihat senang tetapi sebenarnya ia memerlukan tenaga yang lebih untuk memukul kompang dan perhatian yang tajam untuk menyamakan rentak dengan pukulan pemain lain. Secara tidak langsung peluang yang diberikan telah membuka minat penulis untuk mendekati muzik kompang dengan lebih dekat. Penulis juga berharap selepas ini akan diberi peluang untuk bermain alat muzik tradisional yang lain kerana dengan cara ini penulis dapat merasai tarikan yang terdapat pada alat muzik tradisional.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP 2252 DALILA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template