Friday, August 13, 2010

MINGGU 5:JURNAL REFLEKSI




Pada kuliah 5 pelajar SMP 2252 telah didedahkan dengan muzik tradisional gamelan dan cak lempong. Sebelum ini penulis telah biasa mendengar muzik gamelan dimainkan di dalam majlis rasmi sebagai pembuka majlis atau sewaktu ketibaan tetamu kehormat. Namun bagi muzik cak lempong penulis berkenalan dengan muzik tersebut sewaktu dibincang di dalam kuliah 5 ini. Secara keseluruhannya penulis tidak mengenali dua muzik ini dengan lebih dekat sehingga ia diperkenalkan di dalam kelas dari segi sejarah, alat muzik, sistem tonal, melodi dan irama bagi kedua-dua muzik tersebut.


Dilihat dari segi sejarah, gamelan berasal dari Jawa dan muzik ini diperkenalkan di dalam Istana di negeri Pahang pada waktu pemerintahan Sultan Muadzam Shah. Pada tahun 1913 muzik ini di bawa ke negeri Terengganu hasil daripada perkawinan antara Tengku Ampuan Mariam dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam syah. Bermula daripada perkahwinan itu satu set gamelan dan penari telah di bawa masuk ke istana Terengganu untuk menghiburkan Tengku Ampuan Mariam dan pemuda pemudi telah diajar untuk bermain muzik tersebut.


Walaupun muzik ini berasal dari Jawa namun identiti muzik antara gamelan Jawa dan gamelan Melayu berbeza dari segi tuning, instrument dan melodi. Gamelan melayu diubah untuk diselaraskan dengan bunyi piano. Namun bagi Amerika ia masih mengekalkan ciri-ciri Jawa tanpa mengubah tuning. Antara alat muzik yang terdapat dalam gamelan Terengganu adalah kromong (boning), kenong, pekin, saron barung, gong, gendang dan gambang. Manakala terdapat dua pertambahan alat muzik dalam gamelan Jawa iaitu demung dan kempul. Bagi gamelan Jawa muzik ini biasanya digunakan untuk majlis perkahwinan, berkhatan dan fungsi-fungsi lain yang berkaitan dengan kehidupan rakyat.

Notasi dilihat tidak begitu penting di dalam gamelan pada abad ke 19 kerana masyarakat pada waktu itu menggunakan sistem menghafal untuk bermain alat muzik. Pada zaman moden sekarang ini, muzik gamelan dilihat masih lagi dimainkan dengan menggunakan sistem nombor dan sistem itu dikenali sebagai sistem kepatihan. Begitu juga dengan tarian yang mengiringi muzik gamelan, ia dipelajari melalui manuskript tarian yang dilukis masyarakat pada waktu itu. Tekstur gamelan pula adalah berbentuk polifoni dan ciri muzik tersebut adalah dimainkan secara berulang.





Cak lempong merupakan muzik yang berasal daripada minangkabau dan ia dikenali sebagai talempong atau tak lempong. Setelah itu ia dibawa masuk di beberapa bahagian kawasan di negeri Sembilan oleh orang sumatera yang berhijrah ke Tanah Melayu. Muzik ini telah menjadi adat, seni dan budaya di negeri Sembilan. Cak lempong biasa dimainkan pada majlis perkahwinan dan adat istiadat. Terdapat tujuh alat muzik di dalam cak lempong iaitu boning, gereteh, tingkah, sauwa, gendang, bangsi dan serunai.Bonang yang terdapat pada cak lempong dikatakan berbeza dengan gamelan kerana ia diperbuat daripada tembaga. Bagi alat muzik tingkah dan sauwa ia dilihat sama tetapi cara bermain adalah berbeza iaitu sauwa dimainkan dengan menggunakan kedua belah tangan manakalan tingkah secara interlocking (bertingkah). Manakala bagi alat muzik aerofon yang terdapat dalam cak lempong adalah bangsi dan serunai. Bangsi diperbuat daripada buluh dan mempunyai 7 lubang manakala serunai mempunyai 4 lubang dan diperbuat daripada tanduk kerbau.


1 comments:

Marlin on August 14, 2010 at 10:19 PM said...

Ulasan yang menarik. Saya berharap dengan adanya usaha seperti ini, muzik tradisional kita tidaklah hilang begitu sahaja. Dengan pengetahuan yang kita ada ditambahkan lagi dengan mengikuti subjek ini diharapkan agar kita boleh memikirkan langkah yang sesuai untuk menarik minat golongan muda mudi tanpa mengubah keaslian muzik ini.

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kump. A

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP 2252 DALILA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template