Friday, October 29, 2010

Jurnal Refleksi : Minggu 14



Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu yang terakhir bagi kelas SMP 2252. Terdapat banyak perkara baru yang diperoleh selama 14 minggu menyertai kelas muzik tradisional bersama En. Amran. Pendekatan yang dibuat melalui blog menarik minat penulis terhadap pembaharuan yang ditonjolkan dalam proses pembelajaran. Sebelum ini penulis tidak mempunyai pengalaman dalam menyediakan blog, segala ilmu membina blog diperoleh daripada kelas ini. Walaupun tiada pengalaman penulis tetap dapat mengikuti segala arahan yang diberikan oleh En Amran dalam proses membangunkan blog individu. Rakan-rakan sekelas juga banyak membantu dalam menyempurnakan blog tersebut.

Pada minggu ke dua pembelajaran kami telah mula membuat refleksi terhadap hasil pembelajaran yang kami pelajari dalam kelas mengikut pemahaman penulis. Pada permulaan refleksi, agak sukar bagi penulis menyediakan refleksi tersebut kerana muzik tradisional bukan bidang penulis sebagai pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan dan penulis memerlukan rujukan tambahan untuk menyediakan refleksi. Namun pada minggu kelima kuliah penulis telah mula menunjukkan minat kepada muzik tradisional dan refleksi dapat dilakukan dalam masa yang singkat sahaja. Namun refleksi yang dihasilkan memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi agar tercapai objektif pembelajaran. Dengan pendekatan video, gambar dan slide yang disediakan oleh pensyarah dan rakan-rakan yang lain, penulis dapat mencapai kandungan kursus yang diperlukan dalam muzik tradisional. Rakan-rakan daripada jurusan muzik juga banyak membantu dalam memberi gambaran yang sebenar tentang pembelajaran yang dilalui di dalam kelas. Pembentangan dan blog kumpulan juga banyak membantu dapat memahami kandungan yang terdapat dalam subjek ini.

Secara keseluruhannya dengan wujudnya pembelajaran menggunakan blog, penulis bukan sahaja dapat mengenali muzik tradisional malah dapat mempelajari cara membina blog. Ilmu tersebut sangat bermakna dan sesuai dijadikan bekalan kepada penulis yang bakal bergelar guru kelak. Pendekatan blog juga sesuai digunakan di dalam sistem pembelajaran agar menarik minat pelajar terhadap isi kandungan kursus. Namun guru atau pensyarah memerlukan masa dan kesabaran dalam memberikan pemahaman kepada pelajar mengenai blog kerana tidak semua pelajar terdedah dengan teknologi.

Teruskan Membaca...

Friday, October 15, 2010

MINGGU 12 - JURNAL REFLEKSI


Refleksi kali ini merupakan kupasan yang terakhir dua kumpulan pembentangan bagi kelas “Muzik Tradisional Malaysia”. Kumpulan yang membentangkan tajuk “Opera Cina dan Potehi Di Malaysia” telah mengulangi pembentangan mereka pada minggu ini. Pembentangan pada kali ini memperlihatkan peningkatan yang ketara daripada kumpulan tersebut kerana mempunyai keyakinan dan maklumat yang cukup untuk berkongsi dengan rakan-rakan sekelas. Kajian lapangan yang dilakukan di AISWARA telah banyak membantu mereka memperoleh maklumat mengenai opera cina dan potehi. Skop perbincangan juga telah merangkumi perkara-perkara yang penting seperti sejarah kedatangan, kategori alat muzik, topeng atau alatan yang dipakai semasa persembahan dan maksud penggunaan warna yang terdapat pada topeng.

Dilihat dari segi cara penyampaian peningkatan dari segi penggunaan dialek kenegerian, walaupun terdapat beberapa situasi yang memperlihatkan penggunaan dialek negeri masih dapat di kesan semasa pembentangan dilakukan. Begitu juga dari segi pemahaman content jelas menampakkan mereka memahami setiap perkara yang disampaikan. Pada keseluruhannya kumpulan tersebut telah menggunakan peluang kedua yang diberikan oleh Encik Amran dengan baik.

Bagi kumpulan terakhir adalah pembentangan mengenai “Muzik Tradisi Sabah dan Sarawak”. Skop perbincangan kumpulan tersebut adalah merangkumi jenis-jenis muzik, alat muzik dan tarian dalam muzik yang dimainkan. Kumpulan ini tidak dapat melakukan kerja lapangan secara live kerana memerlukan perbelanjaan yang tinggi, namun temu bual dilakukan ke atas pelajar yang berasal daripada Sabah dan Sarawak untuk memahami dengan lebih jelas mengenai jenis-jenis muzik yang terdapat di negeri tersebut. Terdapat beberapa maklumat yang dikongsi yang sebelum ini penulis tidak mengetahuinya dengan lebih jelas antaranya muzik darling-darling dan tarian Limbau. Dari segi persembahan, ahli kumpulan dilihat sedikit gugup dan terdapat kesilapan dalam sebutan, begitu juga dengan penerangan yang kurang jelas terhadap video yang ditayangkan. Namun rakan-rakan sekelas yang berasal daripada Sabah dan Sarawak telah membantu memperbaiki penerangan dan sebutan yang disampaikan oleh kumpulan tersebut.

Teruskan Membaca...

Saturday, October 9, 2010

Jurnal Refleksi : Minggu 11


Pembentangan minggu ini memperlihatkan kumpulan ghazal mengulang kembali pembentangan bagi melengkapkan maklumat kerja lapangan yang diperlukan. Hasil daripada kerja lapangan tersebut, banyak maklumat yang berjaya dikongsi bersama dan perbezaan antara ghazal Johor dan ghazal Parti dapat dilihat dengan jelas dari segi alat muzik, cara persembahan, negeri yang mempopularkan muzik tersebut serta irama dan lagu yang dipersembahkan. Namun begitu sejarah ghazal parti tidak dapat diketahui asal usul kedatangannya.

Ahli kumpulan tersebut juga dilihat lebih yakin dan memahami setiap maklumat yang disampaikan. Jawapan yang diberikan bagi setiap persoalan yang dikemukakan juga dapat diperjelaskan dengan tepat dan memuaskan. Penulis mengucapkan tahniah kepada ahli kumpulan ghazal kerana telah bersusah payah turun kelapangan bagi mendapatkan data dan video yang dipaparkan memperlihatkan kesungguhan ahli kumpulan tersebut memperbaiki kesilapan yang lepas. Sebelum persembahan ini dilakukan penulis tidak pernah mendengar muzik ghazal parti dan tidak menjangkakan muzik tersebut dimainkan di negeri sebelah utara seperti Pulau Pinang dan Kedah. Sesuai dengan nama yang diberikan, ghazal parti dilihat lebih agresif dan sesuai untuk berhibur.

Maklumat yang diperoleh berkaitan dengan muzik ghazal bukan sahaja dapat dikongsi dengan rakan sekelas, malah ia menarik perhatian pelajar dan guru daripada SMK Malim, Melaka. Walaupun lawatan ke bilik tersebut hanya lebih kurang 15 minit namun, segala maklumat yang diperoleh dapat difahami, situasi ini dapat dilihat melalui persoalan yang diajukan pelajar dan guru sekolah tersebut.

Teruskan Membaca...

Saturday, October 2, 2010

Jurnal Refleksi : Minggu 10

Kuliah pada minggu ini melibatkan dua kumpulan pembentangan yang berkaitan dengan tajuk “Muzik dan Orkestra Klasik India” dan “Muzik Orang Asli”. Sebelum pembentangan kedua-dua tajuk kumpulan tersebut dilakukan, penulis hanya faham serba sedikit mengenai muzik orang asli, namun bagi muzik orkestra India penulis tidak pernah didedahkan dengan mengenai muzik tersebut sebelum ini. Penulis mengucapkan tahniah kepada kedua-dua kumpulan kerana telah berjaya membantu rakan sekelas dengan menyampaikan maklumat yang jelas bagi memberikan pemahaman mengenai aspek-aspek yang terdapat di dalam setiap muzik yang dibentangkan.

Bagi muzik orkestra klasik India, kedatangan muzik tersebut ke Malaysia dapat dikaitkan dengan migrasi yang berlaku semasa zaman pedagang-pedagang luar ke Tanah Melayu. Namun penulis ingin mengetahui dengan lebih jelas mengenai perbezaan muzik India Utara dan Selatan dan menurut En Amran terdapat empat kategori dalam muzik India. Mengenai alat muzik penulis dapat memahaminya dengan jelas namun dari segi skala muzik yang dimainkan penulis memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang lebih untuk memahaminya. Secara keseluruhannya penulis dapat memperoleh ilmu mengenai muzik orkestra klasik India secara jelas melalui pembentangan kumpulan ini.

Seterusnya masuk kepada muzik orang asli, kumpulan ini telah membuat kerja lapangan di muzium orang asli di Gombak. Penyampaian yang baik oleh kumpulan mengenai sejarah dan alat muzik yang terdapat di dalam setiap kaum orang asli di Malaysia, namun untuk membawa masuk minda rakan-rakan sekelas ke dalam muzik orang asli, kumpulan pembentang perlu menyediakan video cara bermain alat muzik orang asli. Namun penulis akui untuk memperoleh video tersebut amat sukar kerana terpaksa memasuki kampung orang asli dan ia memerlukan kebenaran daripada Tok Batin orang asli kampung tersebut. Penulis mengharapkan penjelasan yang lebih terperinci di dalam blog kumpulan ini agar pemahaman penulis terhadap muzik orang asli dapat dipertingkatkan.
Teruskan Membaca...

Saturday, September 25, 2010

Jurnal Refleksi : Minggu 9

Pada minggu ke 9, kumpulan pembentangan terdiri daripada kumpulan ghazal dan opera China. Walaupun kumpulan ini telah diarahkan untuk melakukan pembentangan semula tetapi sedikit sebanyak penulis telah mendapat ilmu hasil dari pembentangan kedua-dua kumpulan. Ini kerana penulis sebelum ini bukan dari aliran muzik dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai dunia muzik. Melalui pembentangan muzik ghazal, hanya beberapa tempat sahaja perlu ditambah iaitu mengenai sejarah kedatangan muzik ghazal ke Tanah Melayu dan penerangan yang jelas antara muzik ghazal pati dan Johor. Menurut kumpulan pembentang mereka akan turun ke lapangan untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi mengukuhkan lagi fakta yang sedia ada. Muzik ghazal merupakan seni muzik yang sangat popular di negeri Johor dan perkembangan muzik ini di Johor dapat dikaitkan dengan Allahyarham Datuk Bentara Luar Mohd Salleh bin Perang. Menurut sumber, Allahyarham telah memperkenalkan muzik ghazal semasa proses pembukaan daerah baru di Johor dan pada masa itu muzik ini dimainkan di setiap rumah-rumah penghulu dan pada majlis keramaian. Dilihat dari segi pembentangan, kumpulan ini tidak dapat menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri muzik kerana mereka bukan terdiri daripada pelajar muzik. Penulis dapat melihat usaha yang ditunjukkan oleh kumpulan ghazal untuk memberikan pembentangan yang terbaik pada minggu tersebut namun disebabkan kajian lapangan belum selesai mereka terpaksa melakukan pembentangan semula.

Bagi kumpulan ke dua iaitu mengenai opera cina, kumpulan telah melakukan sedikit pembentangan namun terpaksa mengulangnya kembali pada minggu ke enam minggu pembentangan kerana muzik opera cina perlu diperjelaskan di dalam konteks muzik tradisional Malaysia. Kumpulan ini perlu mendapatkan sumber daripada ASWARA bagi mendapat maklumat terperinci mengenai sejarah, alat muzik dan keunikan lagu-lagu dan vokal yang disampaikan oleh kumpulan opera di Malaysia. Berdasarkan pengetahuan penulis, penyampaian opera cina terdiri daripada muzik, nyanyian, tarian dan lakonan. Manakala watak-watak lakonan yang dimainkan lebih berkisarkan mengenai kehidupan di istana. Oleh itu kumpulan pembentang ini perlu memberikan komitmen yang tinggi bagi memberikan ‘input’ berguna kepada rakan sekelas agar segala maklumat yang perlu diterangkan dapat di ulas dengan jelas.


Teruskan Membaca...

Saturday, September 4, 2010

Jurnal Refleksi : Minggu 8




Pada minggu ke dua pembentangan, penulis telah menyaksikan pembentangan daripada kumpulan boria yang telah berkongsi banyak ‘input’ mengenai boria. Penulis juga begitu tertarik dengan huraian mengenai sejarah boria yang telah mengaitkan kisah cucu kesayangan Rasulullah S.A.W iaitu Saidina Hussein yang telah dibunuh dengan kejam di Karbala. Pakaian yang digunakan oleh kumpulan boria adalah diperbuat daripada tikar bagi menggambarkan kesengsaraan yang dialami oleh cucu Baginda dan boria pada waktu itu dikenali sebagai ‘takziya’. Penulis juga didedahkan bagaimana muzik boria tersebut telah mengalami perubahan di Tanah Melayu.

Secara keseluruhannya penulis dapat melihat kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh ahli kumpulan boria untuk menyampaikan ilmu yang berguna untuk semua pelajar di dalam kelas tersebut. Pembentangan tersebut sangat menarik dan di harap selepas ini penulis dapat menyaksikan tayangan video perbandingan persembahan boria yang terdapat di Malaysia dan negara-negara lain. Persembahan video sangat penting bagi menampakkan lagi perbezaan cara penyampaian atau persembahan boria yang terdapat di setiap negara yang terlibat dengan boria. Dengan cara ini gambaran yang jelas dapat dilihat oleh penulis dan rakan-rakan yang lain. Penulis juga mengucapkan tahniah kepada ahli kumpulan boria kerana dapat menghasilkan ruangan blog yang amat menarik dan isi penyampaian yang padat dapat dihuraikan di dalam blog tersebut untuk dikongsi bersama.


Teruskan Membaca...

Friday, August 27, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU 7

Pada minggu ini dua kumpulan telah membentangkan dua tajuk penting iaitu sejarah muzik tradisional Malaysia dan zikir. Penulis merupakan anggota ahli kumpulan zikir. Sebelum ini penulis hanya mengetahui serba sedikit mengenai zikir dan ia merupakan amalan umat Islam dan proses mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Dalam proses penulis menyiapkan penulisan mengenai zikir, barulah penulis memahami bahawa zikir boleh disampaikan dalam pelbagai cara. Sebagai contoh zikir yang disampaikan oleh negara India, mereka menyampaikan zikir berserta dengan alunan suara oleh solo dan paduan suara oleh penzikir lain menjadikan ia lebih harmoni. Begitu juga dengan pembentangan dari kumpulan pertama yang menerangkan mengenai sejarah muzik tradisional Malaysia yang memberi banyak “input” kepada pelajar-pelajar yang lain. Pada minggu ini penulis akan mengulas berkaitan dengan dua tajuk pembentangan tersebut.

Sejarah Muzik Tradisional Malaysia
Dalam tajuk ini pembentang telah menerangkan mengenai konsep perkembangan sejarah muzik tradisional di Malaysia, pengaruh ini dilihat dari segi pengaruh budaya luar iaitu kedatangan pedagang dari India, Cina, Barat dan Timur Tengah dan Kepulauan Melayu. Kumpulan ini juga mengupas dan memberi contoh alat muzik yang terdapat di Malaysia. Menurut pembentang berdasarkan sumber yang mereka perolehi, alat muzik ini dicipta semasa kemasukan masyarakat Melayu-Proto ke semenanjung Tanah Melayu pada kurun ke 3000 SM. Dilihat dari aspek sosio-budaya, alat muzik ini dicipta bagi memenuhi kehidupan mereka untuk dijadikan sebagai permainan dan digunakan sebagai alat bagi upacara ritual. Menurut kumpulan ini juga alat muzik yang paling tua adalah seruling yang dihasilkan melalui tulang binatang. Ini dibuktikan apabila tulang tersebut mempunyai lubang-lubang yang boleh menghasilkan bunyi. Melalui pembentangan ini penulis dapat mengenali asal usul alat muzik dan melihat sendiri bentuk alat muzik pada zaman dahulu melalui gambar-gambar dan nama asal alat muzik tersebut yang disediakan oleh kumpulan pembentang. Sebagai contoh alat ‘Morin Khuur’ yang merupakan alat muzik tertua dalam kategori kordofon dan masih lagi terdapat di negara Mongolia.




Zikir
Perkara-perkara yang dikupas dalam tajuk zikir ialah sejarah dan pengertian mengenai zikir. Zikir masuk ke Tanah Melayu sekitar abad ke-7 Masihi seiring dengan kedatangan Islam. Zikir merupakan amalan individu mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Dari segi pengaruh agama zikir dilakukan mengikut tarekat seseorang individu itu, sebagai contoh negara Nigeria mengamalkan tarekat Sammaniyah. Walaupun di dunia ini mempunyai pelbagai fahaman tarekat tetapi niat dan jalan individu atau kumpulan tersebut adalah sama iaitu mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Semua zikir disampaikan dengan cara berlainan tetapi mengandungi kalimah-kalimah kebersaran Allah S.W.T.

Zikir dan selawat adalah dua perkara yang berbeza, zikir merupakan amalan kepada Allah S.W.T manakala selawat adalah mendoakan Nabi dan Rasul. Zikir biasanya dilakukan di dalam upacara majlis tahlil dan majlis rasmi yang lain. Contoh majlis rasmi ialah di negara Indonesia zikir diadakan semasa menyambut kemerdekaan seperti contoh video yang ditayangkan di bawah. Dalam bab zikir ini, pembentang lebih fokus kepada muzik yang diterapkan di dalam zikir. Zikir kebanyakannya dikategorikan sebagai muzik vokal kerana jarang melibatkan alat muzik. Paduan vokal digabungkan melahirkan satu melodi yang harmoni namun perlu mengikut tajwid yang betul. Alat muzik yang biasa digunakan dalam zikir adalah jenis membranofon iaitu gendang.

Kesimpulannya, hasil daripada pembentangan daripada kedua-dua kumpulan tersebut penulis telah memahami sejarah alat muzik dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan zikir yang dapat dilakukan tidak kira dalam apa jua cara sekalipun dan ia disampaikan bukan semata-mata selepas solat. Cara penyampaian setiap kumpulan juga memberi pemahaman yang lebih jelas kepada semua pelajar.

Teruskan Membaca...
 

Blog Pelajar Kump. A

  • SOAL SELIDIK PENDEKATAN P&P PENSYARAH SMP2252 - Salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi memberikan kerjasama untuk mengisi soal selidik ini. Ianya mengandungi 8 soalan pilihan dan 4 soalan terbuka. B...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir da...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir dan menandakan berakhirnya kuliah pada minggu k...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    5 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    5 years ago
  • MINGGU 14 :JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum kepada pensyarah dan kawan-kawan semua. Minggu ini merupakan mingg yang terakhir kita belajar berkenaan dengan muzik tradisional. pada ming...
    5 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : MOHAMAD KHAZIL BIN WASLI NO.MATRIK : D20072031485 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252-MALAYSIAN...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

Blog Pelajar Kump. B

Blog Pelajar Kump. C

SMP 2252 DALILA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template